KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) dianggap melanggar semua prinsip dan nilai kemanusiaan selepas menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata antara rejim Zionis dan Palestin pada 9 Dis lepas.

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia berkata AS perlu bertanggungjawab ke atas pertumpahan darah melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas Palestin di Semenanjung Gaza yang telah dikepung itu.

"Keputusan AS secara terbuka memihak kepada Israel akan membawa kepada serangan besar-besaran berterusan oleh Israel di Gaza dan setiap wilayah yang diduduki rakyat Palestin.

"AS bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan kegagalan resolusi yang membawa kepada kesukaran untuk rundingan damai dan penyelesaian dua negara tidak lama lagi," menurut gabungan itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut Gabungan NGO Malaysia, penggunaan kuasa veto oleh AS memberi Israel akses terus dalam melaksanakan penjajahan dan pembersihan etnik secara terbuka serta mengabaikan desakan masyarakat antarabangsa yang ingin melihat penamatan segera serangan ke atas Gaza.

"Kegagalan resolusi ini dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan angka kematian lebih 17,674 orang dan lebih 49,300 individu yang mengalami kecederaan seperti dilaporkan Agensi Berita Palestin (WAFA) baru-baru ini," katanya.

Gabungan NGO Malaysia berkata pihaknya juga menggesa masyarakat global agar meningkatkan usaha menekan pihak-pihak terbabit sehingga gencatan senjata di Palestin berjaya dilaksana.

"Dengan ini, piihak kami menyokong penuh pendirian Kerajaan Malaysia yang menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus bersatu menentang tindakan agresif dan tidak bermoral AS, sekali gus melanggar semua prinsip dan nilai kemanusiaan sejagat.

"Kami berdiri dalam solidariti teguh dengan rakyat Palestin dan mengulangi komitmen teguh kami dalam menyokong setiap inisiatif untuk memperjuangkan hak asasi mereka untuk mendapatkan kemerdekaan kekal," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 38 NGO terbabit dalam gabungan itu antaranya Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Misi Keamanan Sejagat Malaysia (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Haluan Malaysia.

-- BERNAMA